APLIKASI KAD HIJAU CIDB DI TAPAKBINA

Mohd Ruzi Hamzah
Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, 23000 Dungun, Terengganu.
Norlia Md Desa
Jabatan kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, 23000 Dungun, Terengganu.
Tel : 09-8403019 Fax : 09-8403027
email; leeya69@yahoo.com

ABSTRAK

Kepesatan pembangunan industri binaan banyak bergantung kepada produktiviti, kemahiran dan kesungguhan tenaga yang dicurahkan oleh personel binaan. Justeru itu, faktor keselamatan dan kesihatan personel binaan perlu dititikberatkan. Kekerapan kejadian kemalangan melibatkan personel di tapak bina telah mendorong Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melancarkan program Kad Hijau, pada 20 April 2000. Program ini mewajibkan semua personel binaan mengikuti kursus sehari induksi keselamatan dan kesihatan. Setelah berkursus ini, peserta akan diberikan Kad Hijau yang merupakan pra-syarat untuk membolehkan mereka masuk, berada dan bekerja di tapak bina. Oleh sebab kursus induksi ini merangkumi pelbagai aspek dan hanya disampaikan kepada peserta selama sehari sahaja, maka timbul persoalan tentang tahap keberkesanan kursus ini. Kajian ini memfokuskan kepada mengenalpasti tahap perbezaan mengenai kesedaran, kefahaman dan pengetahuan pemilik Kad sebelum dan selepas mereka berkursus, korelasi di antara persepsi aspek keselamatan dengan sebelum dan selepas mereka berkursus, keberkesanan perlaksanaan kursus dan menentukan sama ada sikap berhubung dengan isu keselamatan adalah berbeza dari segi jantina, umur, lamanya tempoh mereka bekerja dan memiliki Kad. Borang soal selidik digunakan untuk mendapatkan maklum balas daripada 190 orang personel binaan di negeri Kedah dan Perlis. Penemuan dari soal selidik mendapati terdapatnya tahap perbezaan yang ketara berhubung kesedaran, kefahaman dan pengetahuan personel binaan selepas mereka menghadiri kursus. Juga terdapat korelasi yang lebih positif mengenai persepsi aspek keselamatan selepas mereka berkursus. Perlaksanaan kursus juga dijalankan dengan begitu baik dan memberi banyak manfaat. Dapatan kajian menunjukkan kursus dilaksanakan dalam tempoh masa yang terlalu singkat dan penilaian kepada personel binaan perlu diberi sebelum Kad dikeluarkan. Jantina, usia, tempoh lamanya personel binaan itu berkecimpung dan memiliki Kad dalam industri pembinaan bukanlah menjadi faktor penentu terhadap perubahan sikap mereka mengenai isu keselamatan dan kesihatan. Namun faktor jantina dan lamanya seseorang itu memiliki Kad mempunyai perbezaan yang signifikan dalam mencapai matlamat kemalangan sifar. Jantina juga menjadi faktor meningkat atau menurunnya kadar kemalangan di tapak bina.Di akhir soal-selidik, dikemukakan lapan cadangan kepada responden bagi memperkemaskan lagi perlaksanaan kursus Kad Hijau. Ujian Friedman digunakan bagi mendapatkan keutamaan cadangan yang dipilih oleh reponden. Hasilnya responden bersetuju kursus Kad Hijau perlu diberikan nilai tambah bagi memantapkan keberkesanan perlaksanaan program Kad ini.

Kata kunci: Kad Hijau, keselamatan dan kesihatan, kursus kad hijau, personel industri binaan





KEMALANGAN DI TAPAKBINA; SATU TRAGEDI

Kemalangan merupakan satu kejadian buruk yang tidak disengajakan dan telah menimpa seseorang yang boleh menyebabkan kematian, kecederaan dan kerosakan harta. Kemalangan amat mudah berlaku di kawasan pembinaan disebabkan terdapat banyak kerja-kerja sementara dan terdedah yang sukar dikawal. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk lagi kerana kurangnya langkah-langkah keselamatan yang diambil untuk mengelakkan ia daripada berlaku.

Terdapat banyak sebab mengapa sesuatu kemalangan boleh berlaku di kawasan pembinaan. Pada tahun 1931 falsafah Heinrich yang dikenali sebagai TEORI DOMINO HEINRICH telah digunakan sebagai rangka pemikiran terhadap keselamatan. Beliau menyatakan bahawa manusia dan bukannya benda yang menyebabkan kemalangan. Kemalangan boleh berlaku atas sebab-sebab berikut;
  • keadaan yang tidak selamat
  • prosidur yang tidak betul, dan
  • tindakan yang tidak selamat

Umumnya punca-punca kemalangan boleh dikategorikan kepada beberapa kumpulan seperti berikut;

  • majikan,
  • pekerja,
  • keadaan tapakbina,
  • sistem pengurusan dan pentadbiran, dan
  • penggunaan bahan dan jentera.