KESEDIAAN TEKNOLOGI DI KALANGAN PENGURUS-PENGURUS FIRMA PEMBINAAN DI NEGERI KEDAH, PERLIS DAN PULAU PINANG.

ABSTRAK


Kesan globalisasi dan liberalisasi di negara kita telah memberi faedah kepada sesetengah pihak tetapi menyusahkan kebanyakan pihak lain. Salah satu organisasi yang turut menerima kesan ini di negera-negara sedang membangun seperti Malaysia ialah firma-firma pembinaan. Memandangkan dari segi saiz ( 94% daripadanya adalah firma bersaiz kecil dan sederhana), didapati terlalu sukar bagi mereka bersaing di peringkat global dengan firma-firma pembinaan asing yang mempunyai lebih kesediaan teknologi berbanding dengan firma pembinaan tempatan. Walaupun dengan kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta kehadiran Internet telah mengubah cara kita bekerja di alaf baru, didapati firma-firma pembinaan tempatan terlalu lambat menggarapnya berbanding dengan pihak-pihak lain. Firma-firma pembinaan asing begitu pantas menerima dan menggunakan teknologi bagi membolehkan mereka bersaing dengan lebih berkesan.
Pengurus-pengurus firma pembinaan merupakan pihak yang boleh membuat keputusan memulakan langkah yang sangat penting samada hendak menggunakan teknologi terbaru ataupun tidak. Oleh itu kajian ini secara khususnya memberi fokus untuk mengukur tahap kesediaan teknologi mereka dan menentukan sam ada kesediaan mereka berbeza dari aspek usia, jantina, bangsa, tahap pendidikan, saiz firma, lokasi (negeri), penggunaan komputer dan internet. Borang kaji selidik telah digunakan untuk mendapatkan data daripada 96 orang pengurus firma pembinaan yang beroperasi di utara Semenanjung Malaysia.
Indeks Kesediaan Teknologi (TRI) yang merujuk kepada kecenderungan untuk menerima dan menggunakan teknologi baru untuk mencapai matlamat dalam kehidupan harian dan di tempat kerja telah diperkenalkan oleh Prof. A. Parasuraman (2000). Ia digunakan untuk mengukur tahap kesediaan pengurus-pengurus firma. Pengukuran menggunakan 4 konstruk iaitu optimis dan inovatif sebagai pendorong manakala tidak selesa dan ketidakselamatan merupakan faktor penghalang.
Dapatan menunjukkan skor TRI secara keseluruhannya (Min=3.18, Sisihan Piawai = 0.23) menjelaskan tahap kesediaan teknologi pengurus-pengurus firma pembinaan adalah sederhana. Tiada perbezaan yang signifikan dari aspek kesediaan teknologi terhadap pelbagai angkubah demografi (contohnya jantina, usia, dan lain-lain) kecuali tahap pendidikan.
Basri Saad,
Msc. Project Management, USM

1 comment:

Reader said...

Salah satu daripada langkah untuk mengatasi permasalahan ini adalah dengan mengemaskini semua corak pendidikan yang diamalkan oleh kebanyakan IPTA di Malaysia,
Semua subjek/kursus ditawarkan harus diselitkan dengan unsur-unsur pembaharuan berteraskan teknologi semasa/baru. Penambahbaikan harus dilakukan bukan setiap lima tahun sekali tetapi secara lebih kerap seiring dengan kemajuan teknologi yang sangat pantas bersilih ganti. Ia dapat menjamin kualiti graduan yang lebih berdaya saing dan berkualiti dalam mengharungi corak dunia pembinaan di Malaysia.